Saturday, August 19, 2023

Langkah-langkah menghadapi tekanan inflasi

                        Oleh : Nurul Hamizah Jafpri 
   


   Umum mengetahui, ketegangan geopolitik yang berlaku antara negara-negara besar seperti perang Rusia-Ukraine menjadi salah satu faktor dorongan luaran inflasi yang berlaku. Kemerosotan dan kesukaran menampung bekalan makanan ke serata dunia menyebabkan pembekal terpaksa menaikan harga barangan. Bahkan dasar dosmestik kerajaan China ketika penularan wabak covid-19 turut mempengaruhi kemeseletan ekonomi global. Impaknya, negara Malaysia juga tidak terlepas mendepani cabaran-cabaran semasa dalam mengawal momentum inflasi yang berubah-ubah.

   Dampak ini memberikan implikasi kenaikan harga barang yang sering menjadi topik kitar semula meniti dari bibir ke bibir masyarakat. Bahkan, sikap sesetengah pihak memonopoli barangan asas  yang mendapat permintaan tinggi juga mencetuskan kegusaran dalam masyarakat. Terutamanya ketika musim perayaan, sesetengah harga barangan keperluan meningkat naik disebabkan sikap tidak bertanggungjawab peniaga bersifat nafsi. Tiada ubat yang tidak ada penawarnya lantas bibit-bibit ledakan inflasi perlu ditangani dengan segera. 

   Antara langkah bagi membendung tekanan inflasi terhadap individu adalah merancang perbelanjaan yang strategik. Individu perlu mengawal sikap tamak dan suka membazir ketika berbelanja adalah tindakan yang wajar diterapkan. Agama Islam juga turut mengajar supaya tidak berlebih-lebihan dan bersederhana ketika berbelanja. Berbelanja perlulah mengikut keperluan serta elakan membeli barangan mengikut kehendak peribadi. Sebagai pengguna, berbandingan harga dan kualiti sebelum membeli adalah langkah yang proaktif. 
 
  Pada masa yang sama, pengawasan kerap penetapan harga bumbung atau harga siling adalah langkah yang jitu. Harga barangan atau perkhidmatan yang boleh dikenakan oleh penjual kepada pembeli mestilah yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk mengawal harga barangan tertentu. Tindakan yang tegas perlu dilaksana terhadap peniaga yang melanggar undang-undang. Hal ini kerana, tindakan melonjakkan harga barangan dengan alasan barangan sukar didapati akan mengakibatkan bebanan kepada masyarakat terutamanya yang kurang berkemampuan. 

   Secara sedar mahupun tidak, masyarakat perlu mengelak daripada berhutang. Strategi pengurusan kewangan dapat mengurangkan risiko pada jangka masa yang panjang. Perancangan kewangan 5-10 tahun ke hadapan amat penting agar tidak terbeban dengan peningkatan faedah terutamanya melibatkan pinjaman bank-bank komersial. Rentetan senario itu, seharusnya sentiasa mempertimbang dan merancang dengan teliti untuk kemungkinan perubahan dalam kadar faedah dan menilai kemampuan pinjaman mereka. 

   Tegasnya, konsep Malaysia Madani yang menitik beratkan keselesaan kepada masyarakat diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya disambut baik oleh masyarakat. Kesediaan dalam menghadapi kemelut politik dan ekonomi diyakini dapat membawa perubahan besar kepada negara, terutama dalam merencanakan kepentingan rakyat. Resolusinya, kepimpinan yang baik dalam mentadbir negara akan menjadi paksi sesebuah negara berdiri utuh dalam menghadapi isu, cabaran dan ancaman mendatang kelak. 

   

Thursday, March 1, 2018

Peranan Ibu Bapa Dalam Melahirkan Anak-Anak Bertaqwa


Peranan Ibu Bapa Dalam Melahirkan Anak-Anak Bertaqwa
Oleh : Nurul Hamizah Jafpri

Anak adalah satu amanah yang dititipkan oleh Allah kepada ibu bapa untuk diadun kasih sayang sepenuhnya. Kelebihan memiliki anak soleh dan solehah merupakan dambaan setiap keluarga. Di samping sebagai penerus keturunan, kelak mereka juga akan menjadi penyelamat di masa yang akan datang. Seawal usia, seseorang anak akan lebih mudah untuk menerima perubahan dan bukannya ketika ia telah dewasa. Dan usia seawal itulah akan berlaku perubahan pembentukan jati diri, pola pemikiran dan perwatakan. Dalam masa pembentukan tersebut ibu bapa hendaknya menggerakkan peranan mereka secara optimum dengan memberikan teladan suri yang positif kepada anak-anak.

Berbalik kepada metod yang telah diajarkan oleh Rasullulah SAW yang dijadikan teladan dalam mendidik anak-anak seawal usia muda. Sebagaimana firman Allah SWT :

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
Maksudnya : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”[1]

Sejarah telah menyaksikan pendidikan yang dibawa oleh Rasulullah SAW berjaya mengubah sikap masyarakat Arab yang sebelumnya kasar menjadi lembut dan beradab dapat mengubah mereka daripada bermusuhan kepada saling berkasih-sayang. Melalui pendidikan tersebut jugalah agama Islam yang suci ini dapat kita anuti. Tidak  ada keraguan tentang apa yang dianjurkan Rasulullah SAW bahkan digalakkan untuk melaksanakannya.

Menjadikan diri sendiri dan budi pekertinya sebagai model pendidikan. Kaedah ini merupakan kaedah utama yang digunakan oleh Baginda SAW agar Baginda menjadi ikutan yang baik kepada para sahabat. Baginda tidak mengarahkan sesuatu perkara melainkan setelah Baginda melakukannya terlebih dahulu kemudian barulah diikuti oleh para sahabat berdasarkan apa yang mereka lihat. Metod tersebut merupakan cara terbaik agar mudah difahami dan lebih mendorong untuk diikuti berbanding pengajaran berbentuk teori dan penerangan lisan semata-mata.

Terdapat beberapa tahap didikan yang dianjurkan dalam Islam mengikut peringkat umur anak-anak. Antaranya :

A. Tahap Pertama

Pada tahap ini dianjurkan untuk anak-anak yang baru lahir sehingga berumur 6 tahun.

1) Berdoa perkara yang baik-baik terhadap anak-anak. Ibu bapa hendaklah mendisiplinkan diri anak daripada kecil lagi agar mereka membesar menjadi individu yang berdisiplin dan menghormati orang lain. Apabila ibu bapa melakukan perkara yang baik, sudah semestinya anak turut melakukan perkara yang baik seperti yang dilakukan oleh ibu bapa mereka bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, amat penting untuk ibu bapa menunjukkan contoh yang baik kepada anak mereka sejak kecil lagi.

2) Bergurau dan bermanja bagi mengeratkan hubungan yang terbina. Walaupun dihambat dengan kesibukan bekerja, ibu bapa perlu memanfaatkan masa yang terluang untuk bersama dengan anak-anak. Apabila ibu bapa lebih mementingkan kehendak bekerja maka ruang untuk bersama anak-anak  akan terbatas. Hal ini akan menyebabkan mereka akan berasa terpinggir  serta mempengaruhi mereka untuk terjebak dengan perkara yang negatif. Ibu bapa hendaklah mendidik anak dengan baik kerana anak merupakan aset kepada ibu bapa di akhirat kelak.

3) Tidak boleh dipukul sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.

B. Tahap Kedua

Pada tahap ini dianjurkan untuk anak-anak berusia 7 hingga 14 tahun. Tahap ini dimulakan dengan menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGUNGJAWAB kepada anak-anak.

1) Mengajar dan melatih perilaku anak-anak supaya beradab. Di samping itu didikan agama yang cukup juga merupakan satu daripada faktor yang mampu membentuk sahsiah yang cemerlang dalam diri anak. Hal ini kerana kebanyakkan ibu bapa kini kurang menitikberatkan didikan agama sejak kecil kepada anak-anak yang menyebabkan mereka mudah terjebak dengan heterogen[2] masalah sosial.

2) Mengajar tentang solat dan puasa. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya R.A katanya:

“Rasulullah SAW bersabda: Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” 
(Hadis riwayat Abu Daud).

3) Memberikan hadiah sebagai penghargaan serta pencetus semangat kepada anak-anak apabila prestasi cemerlang tidak kira aspek pendidikan mahupun akhlak. Dengan pemberian tersebut akan mendidik  anak-anak menjadi seorang yang menghargai jasa. Pada ketika ini ibu bapa perlu bijak  dalam mengatur waktu beriadah bersama anak-anak.

C. Tahap Ketiga

Pada tahap ini dianjurkan untuk anak-anak berusia 15 hingga 21 tahun. Pada tahap ini  ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka.

Pada tahap ini anak-anak memasuki masa remaja atau berusia sekitar 15 tahun, anak akan memasuki fasa pergaulan yang lebih luas sehingga pergaulan dengan berlainan jantina juga perlu diperhatikan. Anak remaja pada usia ini lebih cenderung untuk memberontak.

Oleh sebab itu ibu bapa perlu didik dalam keadaan yang tenang dan secara berdiplomasi[3] dengan mencari iklim yang sesuai untuk mendekati anak-anak mereka.    
Pada usia ini, anak-anak telah memasuki usia akil baligh. Ibu bapa seharusnya memberikan kebebasan dalam  pergaulan namun bukan memberikan kebebasan secara mutlak. Anak-anak  tetap perlu diawasi dan diberi batasan dalam pergaulan tersebut.

D. Tahap Keempat

Pada tahap ini dianjurkan untuk anak-anak berusia 21 tahun ke atas. Fasa ini adalah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh KEPERCAYAAN kepada anak-anak dengan memberi KEBEBASAN dalam membuat keputusan mereka sendiri.

Kebebasan terletak sepenuhnya pada anak-anak. Anak-anak berhak untuk memilih apa yang terbaik untuk dirinya. Pada ketika ini peranan ibu bapa hanyalah sebagai pemberi nasihat dan semangat untuk menyakinkan pilihan yang dipilih anak-anak. Ibu bapa hanya perlu memantau, menasihati dengan diiringi doa agar setiap tindakan yang dilakukan mereka adalah betul. Pada tahap ini telah bermula kehidupan  yang mencabar pada anak-anak ketika berada di luar rumah..
Oleh itu, ibu bapa merupakan entiti yang memainkan peranan yang signifikan[4] dalam kehidupan anak. Peranan ibu bapalah yang mampu membentuk anak menjadi insan yang mempunyai sahsiah yang cemerlang di mayapada dan di akhirat. Ibu bapa hendaklah meluaskan horizon fikiran seluas lautan bahawa agama merupakan senjata ampuh[5] untuk mengelakkan anak remaja terjerumus dalam kancah masalah sosial pada masa kini. Ibu bapa juga perlu sentiasa mempamerkan ikutan yang baik kepada anak-anak agar mereka menjadi insan yang berakhlak mulia.



[1] Al-Ahzab ( 33) : (21)
[2] pelbagai
[3] Seni kemahiran dalam berurusan dengan seseorang tanpa mengguris perasaannya
[4] penting
[5] berkesan

Saturday, February 3, 2018

Perbahasan : Peranan Pendidik Mampu Melahirkan Pelajar Yang Cemerlang

Perbahasan : Peranan Pendidik Mampu Melahirkan Pelajar Yang Cemerlang



Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya membuka gelanggang perbahasan pada pagi yang indah ini. Ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua, barisan perwakilan kerajaan dan tidak dilupa juga perwakilan pembangkang serta ahli-ahli yang berhormat sekalian. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat bersidang.

  Tuan Yang Dipertua dan ahli-ahli yang berhormat,
       Saya amat bersyukur di atas kurniaan negara yang aman dan harmoni di bawah pimpinan kerajaan kita pada hari ini, dapat bersidang membahaskan satu usul yang agak menarik untuk dibincangkan. Usul yang dimaksudkan itu adalah “Peranan Pendidik Mampu Melahirkan Pelajar Yang Cemerlang” dijadikan prioriti dalam perbahasan ini. Dalam usul yang dikemukakan, menjadi pelajar yang cemerlang merupakan idaman setiap sekolah di Malaysia. Lantaran itu, pendidik adalah entiti penting sebagai penyumbang ilmu kepada anak-anak didik mereka. Sebagai pemimpin negara, saya akan memberikan bukti-bukti yang konkrit dan hujah yang mantap untuk meyakinkan para sidang dewan.

  Tuan Yang Dipertua,
      Pada masa kini, pencapaian akademik anak-anak menjadi keutamaan ibu bapa. Oleh itu, suasana pembelajaran yang bersifat kondusif mampu menjamin keselesaan para pelajar bagi menggerakkan usul yang dikemukakan. Suasana yang tenang dan selesa sudah menjadi satu kelaziman para pelajar yang mengutamakan bidang akademik. Persekitaran yang tidak terurus dan bising mempengaruhi fokus pelajar di dalam kelas. Justeru, keadaan tersebut memperlihatkan akan terjadi gangguan rangsangan dalam memahami dan mengingati pengajaran yang berlaku.

   Yang Dipertua,
      Teknik pengajaran oleh guru-guru juga memainkan peranan yang signifikan. Sistem pengajaran yang bersifat ceria dan bervariasi mempengaruhi perkembangan minda mereka. Perlaksanaan pengajaran bersifat sebegini memudahkan pelajar untuk memahami dan mengingati pembelajaran yang telah diajarkan oleh guru-guru mereka. Kaedah tersendiri ini sedikit sebanyak  membantu pelajar dengan berasa seronok belajar di sekolah. Hal ini secara tidak langsung, menghilangkan tekanan dalam belajar serta menarik minat mereka memasang tekad ke menara gading.

  Yang Dipertua dan sidang dewan sekalian,
     Secara holistik dapat saya simpulkan bahawa peranan internet sebagai penyalur maklumat informasi tidak dapat disangkal lagi. Bagaikan satu kemestian segala urusan dapat dijalankan secara efektif dan komprehensif. Demikian juga dalam arena pendidikan menjadikan negeri Terengganu sebagai penanda aras ke arah kecanggihan teknologi maklumat dalam sistem pendidikan mereka. Hal ini kerana mereka beranggapan bahawa keputusan yang cemerlang berpunca daripada penggunaan internet.

  Yang Behormat Tuan Yang Dipertua,
      Kecemerlangan seseorang individu tidak hanya terletak pada cara pengendalian pentadbiran sekolah semata-mata, mengambil cakna daripada usaha kerajaan negeri Terengganu yang sanggup berbelanja besar dengan membekalkan komputer riba kepada para pelajar. Apabila para pelajar celik komputer dan teknologi maklumat nescaya sistem pendidikan di Malaysia mampu “berdiri sama tinggi,duduk sama rendah” dengan negara luar dapat digamit dan direalisasikan.

  Tuan Yang Dipertua,
     Bukan itu sahaja, mungkin para sidang dewan sekalian dapat melihat pusat tuisyen bagai tumbuh cendawan selepas hujan. Namun berapa ramai ibu bapa yang mampu menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen yang berbayar? . Oleh sebab itulah guru-guru mengambil inisiatif mengadakan tuisyen atau kelas tambahan di sekolah. Dalam erti kata lain, golongan yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan dan dapat bersama-sama mencapai falah dikemudian hari. Jelaslah, masalah dalam pembelajaran dapat diselesaikan.

  Tuan Yang Dipertua,
      Akhir kalam, saya menaruh harapan  dan keyakinan yang tinggi terhadap hujah-hujah saya yang telah dibentangkan bahawa “Peranan Pendidik Mampu Melahirkan Pelajar Cemerlang”. Bagi memperkukuhkan hujah ini, menteri kedua akan mengemukakan hujah-hujah yang lebih mendalam lagi. Untuk itu, saya mohon mengundur diri buat sementara waktu. Sekian terima kasih.


NURUL HAMIZAH JAFPRI | Tanah Selatan | 260118/0323PM

TAJUK : BAHASAKU JULANG BANGSA BERJAYA

TAJUK : BAHASAKU JULANG BANGSA BERJAYA

     Pertuturan merupakan lambang identiti setiap bangsa.  Ikatan bahasa menjadi wasilah pemersatuan bangsa-bangsa di setiap negara.  Bahasa juga merupakan simbolik kedaulatan sebuah negara yang telah mengecapi kemerdekaan. Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan adalah dasar penting menjadikan bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara. Hakikatnya dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai rumpun perpaduan bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan. Walaupun kajian terhadap asal usul kewujudan bahasa Melayu belum menemui kata sepakat oleh pengkaji-pengkaji terdahulu dalam menentukan susur sebenar tidak mampu dijadikan sebagai kayu ukur yang konkrit. Setelah berdekad lamanya bahasa Melayu diangkat bermula sebagai bahasa utama perdagangan di kepulauan Melayu suatu ketika dahulu.

      Sebagaimana yang telah digariskan dalam kerangka Wawasan 2020 menjadikan negara Malaysia dalam bentuk acuan sendiri, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi juga penting dalam pembentukan jati diri masyarakat yang berbilang kaum.  Kemampuan bahasa Melayu dalam arena antarabangsa dibuktikan oleh golongan bangsawan asing menyatakan kepentingan bahasa Melayu serta penghargaan bangsa asing terhadap garapan nilai keilmuan yang terdapat dalam bahasa Melayu dari segi kebudayaan, sejarah dan keindahan bahasa itu sendiri. Selain itu, terdapat banyak Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan di luar negara khususnya dalam kalangan mahasiswa di sana seperti Universiti Leiden, Universiti Ohio, dan sebagainya. Kursi tersebut bertujuan mengembangkan keilmuan bahasa Melayu ke seluruh pelosok dunia.  

         Ketiadaan satu wahana sebagai pendukung perhubungan akan merencatkan hubungan baik dalam komposisi masyarakat. Kedudukan utama bahasa Melayu disokong penulisan-penulisan oleh pegawai,  pendita dan pengkaji eropah seperti Jan Huyghen van Linschoten dan Francois Valentijn. Memetik catatan Vanlentijn yang pernah melawat Melaka menyatakan bahasa Melayu adalah satu bahasa yang mudah difahami setiap pedagang yang hadir di kepulauan Melayu atau lebih dikenali sebagai lingua franca. Tambahan dalam buku Prof. Ismail Hussein yang bertajuk “Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita” menyatakan walaupun terdapat pelbagai ragam, dialek dan bahasa daerah dipergunakan namun penduduk tanah Melayu akan menggunakan bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengan orang luar.
  
      Negara Malaysia tidak seperti beberapa negara barat yang majoriti penduduk mereka adalah daripada satu bangsa yang lebih memudahkan mereka berkomunikasi dalam satu bahasa sahaja.  Akan tetapi bangsa Malaysia terdiri daripada tiga ras utama iaitu Melayu,  Cina dan India. Jika ditelusuri catatan sejarah satu per satu, dasar British menggalakkan perkembangan masyarakat dengan melaksanakan dasar pecah dan perintah. Hal ini menyebabkan pihak British mengambil langkah strategik membuka ruang dan peluang dengan membawa masuk imigran-imigran dari negara China dan India secara besar-besaran. Dampak kemasukan tersebut menyebabkan negara Malaysia sehingga kini dipelopori oleh pelbagai bangsa, bahasa dan agama. Kewujudan pelbagai kaum telah membuka mata dan minda pemimpin tanah Melayu ketika itu untuk membentuk keamanan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk.

    Terdapat pelbagai prakarsa yang dijalankan demi memartabatkan bahasa Melayu sejak dahulu lagi. Sungguhpun bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa ibunda negara,  tidak bermakna bahasa lain dibiarkan dalam lipatan sejarah.  Masyarakat bebas untuk berbahasa dan bahasa Melayu hanya dijadikan instrumen komunikasi kerana lenggokkan irama bahasanya menjadikan ia mudah untuk difahami dan dituturkan pelbagai bangsa.  Bahkan setiap siaran televisyen memperlihatkan keprihatinan dan sokongan masing-masing diterajui oleh bahasa setiap bangsa. Tamsilnya siaran televisyen TV7 dipenuhi siaran yang berbahasa mandarin, TV2 dipenuhi siaran berbahasa tamil dan sebagainya. Inilah petanda bahawa pemimpin negara sentiasa cakna dan tidak berat sebelah terhadap bangsa selain Melayu serta mendengar setiap keluhan suara rakyat.

   Tahukah masyarakat tentang inisiatif pihak yang terlibat bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu terus subur seiring peredaran zaman? Antara usaha yang semakin tidak dipedulikan oleh masyarakat adalah penggunaan perkataan pada papan tanda iklan.  Mereka mengambil jalan mudah membuat iklan tanpa merujuk terlebih dahulu atau menggunakan khidmat pengesahan bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terhadap ilkan tersebut sama ada selari dengan DBP ataupun tidak. Kecenderungan menganggap nilai bahasa asing lebih tinggi sehingga mengetepikan keistimewaan bahasa Melayu adalah tidak wajar dilakukan bagi sesetengah pihak. Hal ini kerana pihak DBP telah membuat persetujuan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan,  nama perumahan dan sebagainya.

    Peredaran masa yang merentasi zaman menyebabkan percambahan terhadap penggunaan bahasa dan istilah-istilah baru.  Sifat bahasa Melayu yang fleksibel telah berkembang sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi dari masa ke masa. Keperluan terhadap disiplin ilmu yang selaras dengan istilah semasa terutamanya perkataan bahasa inggeris yang tidak diterjemahkan dalam kamus telah melonjakkan kepelbagaian perkataan dalam bahasa Melayu.  Langkah proaktif dan kolektif daripada pihak DBP menerbitkan istilah semasa baharu merupakan usaha yang jitu demi menjulang penggunaan bahasa Melayu secara meluas.  Maka jelaslah isu kesukaran masyarakat tempatan mengetahui dan menggunakan makna bahasa inggeris dapat diselesaikan dengan efektif.  

     Tuntasnya, perkembangan dunia tanpa sempadan semenangnya memerlukan kepada penguasaan bahasa asing terutamanya bahasa perhubungan masyarakat segenap empat penjuru dunia. Namun kehebatan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan perlu dijadikan cerminan bangsa yang berjaya.  Dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung merupakan aforisme yang tepat menggambarkan suasana bahasa Melayu tidak luntur ditelan zaman. Tegasnya,  semua pihak perlulah bersatu padu dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam komunikasi. Bersesuaian frasa “Bahasa Jiwa Bangsa” menunjukkan kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya dalam aspek bahasa.


NURUL HAMIZAH JAFPRI | Tanah Selatan | 040218/0216PM




Rujukan :

1.Bahasa Melayu Suara Dari Bawah,  Jeniri Amir,  2013


3.https://www.academia.edu/7310401/Kepentingan_memartabatkan_bahasa_melayu_di_persada_dunia

TAJUK : (PENULISAN SURAT 1 MALAYSIA 2013) SEPUCUK SURAT KEPADA PERDANA MENTERI DEMI PENAMBAHBAIKAN TEMPAT TINGGAL ANDA


TAJUK : (PENULISAN SURAT 1 MALAYSIA 2013) SEPUCUK SURAT KEPADA PERDANA MENTERI DEMI PENAMBAHBAIKAN TEMPAT TINGGAL ANDA





   Lot XX Kampung Sri Tambak,
Batu X Jalan Mersing,
8XXXX  Kluang Johor,
Johor Darul Takzim.

27 Jun 2013

   Menemui Ayahanda bapa transformasi negara, Anakanda harapkan agar keadaan Ayahanda berada dalam keadaan sihat dan ceria-ceria selalu. Tujuan warkah ini dilayangkan kepada Ayahanda adalah bertujuan untuk menyatakan resolusi tentang cadangan untuk memajukan kawasan tempat tinggal Anakanda di tanah selatan Kluang, Johor. Resolusi yang diutarakan ini adalah bagi membantu negara dalam mencapai matlamat negara pada era 2020 kelak.

   Malaysia kini mengalami transformasi pembangunan dan pemodenan pesat yang telah memberikan implikasi kepada perubahan ekonomi, kawalan sosial dan juga mentaliti masyarakat. Bagi mencapai status negara maju dalam usaha meningkatkan ekonomi negara. Kemajuan sesebuah kawasan perumahan tidak hanya terletak pada cara pengendalian pentadbirannya sahaja, namun pembangunan juga turut tertumpu pada penggunaan jalur lebar yang sedia ada. Penambahbaikan jalur lebar sedikit sebanyak membantu masyarakat luar bandar mempercepatkan perkembangan minda dalam penggunaan internet.Sekaligus mampu menjana pendapatan bagi masyarakat yang ingin memulakan perniagaan khususnya golongan wanita. Dengan adanya penggunaan jalur lebar ini, mereka dapat mempromosikan barangan tempatan serta berkongsi maklumat dengan dunia luar sebagai medium perantaraan dalam usaha memasarkan barangan tempatan dan seterusnya melahirkan modal insan bertaraf dunia.

   Bukan itu sahaja, penubuhan skuad cegah gangsterisme juga perlu bagi memastikan segala prasarana yang disediakan tidak dirosakkan. Budaya vandalisme ini akan menimbulkan konflik yang mampu menjejaskan imej negara dan menjatuhkan martabat bangsa. Penglibatan para belia dapat mencorakkan strategi yang lebih efektif yang perlu dipraktikkan dalam nadi kehidupan masyarakat. Kolaborasi cegah gangsterisme dengan mana-mana briged komuniti mampu melahirkan semangat komitmen yang tinggi sebagai pedoman untuk terus menyuburkan semangat kerjasama dalam menjamin keamanan negara. Hal ini secara tidak langsung  akan dapat mewujudkan masyarakat yang cakna kepada keamanan dan kestabilan masyarakat sejagat.

   Sementara itu, menyediakan ruang khas untuk kemudahan klinik bergerak beroperasi dua kali seminggu bagi memantau tahap kesihatan penduduk desa. Kemudahan yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjamin tahap kesihatan dengan adanya kemudahan dan keperluan perubatan secukupnya. Hal ini selari dengan dasar kependudukan negara dalam menyeimbangkan kadar pertumbuhan penduduk. Seiring dengan pertumbuhan ekonomi, kerajaan kini dapat meningkatkan lagi kemudahan sedia ada. Perlaksanaaan daripada peringkat akar umbi mampu mencapai objektif utama secara holistik. Dalam hal ini, negara Malaysia mampu mengorak langkah secara konsisten meningkatkan ekonomi negara agar berkembang dengan lebih pesat lagi.

   Tambahan pula, cadangan agar diadakan kelas percuma yang dapat disertai golongan belia tidak kira lelaki mahupun perempuan. Program sebegini dijadikan platform berguna dalam mengasah bakat dan mentaliti masyarakat. Penglibatan masyarakat luar bandar ini mampu menjadi penanda aras kampung-kampung yang lain. Seterusnya hal ini juga melihatkan fokus di mana masyarakat luar bandar merupakan tulang belakang dalam mengukuhkan ekonomi negara. Walaupun sumbangan masyarakat luar bandar tidak begitu besar namun mereka mampu mencetuskan fenomena penggerak utama kepada kepesatan kemajuan negara. Kemajuan negara kini telah membawa banyak manfaat dan menampakkan impak yang positif.

   Tidak cukup dengan itu, mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menganjurkan pameran-pameran bersifat umum secara sukarela. Dalam konteks ini, ia mampu memberikan tarikan kepada masyarakat untuk mengetahui sesuatu yang “disajikan”. Sekiranya faedah dan manfaat program tersebut diaplikasikan dalam kehidupan,nescaya gejala lepak pada senggang waktu tidak dibiarkan begitu sahaja. Interaksi antara penduduk secara tidak   langsung mampu mengukuhkan ukhuwah sosial masyarakat. Kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada perlaksanaan dasar-dasar yang berkesan dan kepimpinan yang baik. Akan tetapi kesediaan rakyat bersama-sama melakukan anjakan paradigma dalam mengatasi segala cabaran yang bakal mendatang.

   Sampai disini sahaja warkah buat Ayahanda. Anakanda harapkan resolusi yang ditujukan dapat dipertimbangkan dan dimanifestasikan kelak. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Resolusi ini tidak akan berhasil tanpa sebarang tindakan, kerjasama dan mengambil cakna daripada pihak pemerintah. Anakanda tinggalkan warkah ini dengan serangkap pantun.

Idea dicerna setinggi harapan,
Pemerintahan berdaulat sanjungan rakyat,
Transformasi negara seiring ke hadapan,
Melakar nama segenap manusia sejagat.


Oleh : NURUL HAMIZAH BINTI JAFPRI

Wednesday, January 3, 2018

KEFAHAMAN ERTI KEMERDEKAAN YANG SERING DISALAHERTIKAN : SATU PANDANGAN

KEFAHAMAN ERTI KEMERDEKAAN YANG SERING DISALAHERTIKAN : SATU PANDANGAN

OLEH : NURUL HAMIZAH JAFPRI


“Tanah Melayu bumi demokrasi berdaulat,
Memanifestasi kebebasan pemimpin dan rakyat,
Keamanan dan keadilan membawa satu hasrat,
Memerdekakan Negara daripada taklukan barat.”

Demikian adalah bait-bait susunan retorik penuh puitis yang dituturkan oleh seorang khalifah ulung yang lebih dikenali sebagai “Bapa Kemerdekaan”. Ucapan tersebut disusuli laungan kalimah tauhid sebagai tanda pengakhiran Tanah Melayu daripada dikuasai British.Setelah termeterainya perjanjian kemerdekaan ia menggambarkan bahawa Tunku Abdul Rahman Ibni Putra al-Haj berjaya meruntuhkan benteng kebal pihak British. Berdasarkan kepada fakta sejarah Negara Malaysia pernah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat selama hampir 446 tahun. Kronologi tersebut memperlihatkan ledakan semangat patriotisme dan nasionalisme masyarakat Tanah Melayu bukan sahaja ketika laungan kemerdekaan digemakan di Stadium Merdeka tetapi telahpun berlaku sewaktu permulaan pencerobohan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511 diiikuti kuasa kolonial yang lain seperti Belanda, Siam dan Jepun.

Rentetan  penjajahan yang berlaku memberikan pedoman dan pengajaran yang konkrit kepada perubahan norma masyarakat setempat. Nilai-nilai iktibar yang diperolehi menjadikan  satu penanda aras untuk berubah kearah kehidupan yang lebih kondusif. Pelbagai modifikasi telah dilakukan bagi menggembalikan semangat patriotisme tetapi malangnya usaha yang dipupuk hanya berlaku apabila menghampiri ambang kemerdekaan. Rata-rata mahasiswa masih belum memahami sepenuhnya erti kebebasan kerana kehidupan modenisasi serba lengkap menjadikan mereka tidak merasai keperitan serta kesengsaraan mengharungi ketidakstabilan sosial, ekonomi dan politik. Tidak hanya menyahut seruan kerajaan mahupun bukan kerajaan terlibat dalam program-program bersifat mendukung sejarah negara tetapi pelbagai prakarsa yang boleh dilakukan oleh mahasiswa menggerakkan alpukah serta tanggungjawab menyemai semangat cinta akan negara.

Antara usaha yang semakin lenyap dalam kalangan mahasiswa adalah pengekalan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan disetiap sudut. Lazimnya, sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat memerlukan satu identiti yang jelas bagi menyerlahkan kemerdekaan yang dikecapi. Tambahan, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun yang lalu. Namun senario yang terjadi pada hari ini dilihat terdapat banyak lambakan percampuran bahasa dalam kalangan mahasiswa. Kebanyakkan mahasiswa kurang mempraktikkan penyebutan perkataan dengan tepat kerana pengunaan bahasa rojak sudah sinonim dalam diri individu. Lebih menyedihkan apabila segelintir mahasiswa memperlekehkan dan menganggap penyebutan bahasa baku tidak relevan untuk dipertuturkan lagi. Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah mahasiswa tentang kemampuan bahasa Melayu menjadi  bahasa kemajuan pada Negara.

Justeru mahasiswa perlu lebih proaktif dalam mengimplimentasikan Bahasa Malaysia dalam setiap tindakan dan pertuturan. “Bahasa Jiwa bangsa” adalah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Sifat dominan terhadap Bahasa Inggeris menyebabkan penggunaan Bahasa Malaysia ketinggalan di kelompok yang hampir luput ditimbus dengan bahasa asing. Namun tidak dinafikan anjakan paradigma keperluan kepada bahasa asing menjadi satu kemestian dalam kalangan mahasiswa intelektual. Hal ini kerana pelbagai bentuk perubahan dijalankan demi memartabatkan Bahasa Melayu telah bermula sejak tahun 1967 lagi. Hakikatnya penglibatan mahasiswa dalam mengangkat Bahasa Melayu dipersada dunia semenangnya bukan sesuatu yang mudah. Pepatah Melayu ada menyatakan “yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa” seharusnya dihayati sepenuhnya oleh mahasiswa.

Bukan sahaja melalui elemen komunikasi, mahasiswa juga boleh menggerakkan peranan dengan menjulang dan menghormati simbol kebesaran  sebagai tanda kecintaan kepada sejarah Negara. Pengibaran jalur gemilang bukan hanya sekadar sehelai bendera  yang dikibarkan pada sambutan kemerdekaan setiap kali menjelang 31  Ogos setiap tahun. Akan tetapi ia merupakan simbol kedaulatan negara dan lambang kemegahan setiap rakyat. Perlakuan menterbalikan dan mengoyak jalur gemilang merupakan satu bentuk penghinaan kepada negara. Apabila dibiarkan perlakuan yang bertentangan ia akan terus menjadi barah dalam ketamadunan masyarakat. Maka tidak hairanlah apabila ramai rakyat Malaysia terutama golongan setaraf dengan mahasiswa tidak menzahirkan rasa hormat kepada lagu Negaraku. Oleh yang demikian, perubahan peredaran zaman menyebabkan golongan mahasiswa merupakan entiti penting dalam memberikan impak kesedaran kepada masyarakat sekeliling.

Tidak cukup dengan itu,  mahasiswa perlu mengetahui dan mendalami sejarah Negara. Hal ini kerana peratusan minat mahasiswa terhadap subjek sejarah dalam kondisi “hidup segan mati tak mahu”. Banyak kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu berkenaan faktor subjek sejarah kurang diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Matapelajaran sejarah dianggap subjek yang membosankan dipenuhi dengan banyak fakta. Jika disisihkan matapelajaran sejarah maka akan lahir generasi muda yang buta, ketandusan memahami dan menggunakan sejarah untuk membaiki kepincangan-kepincangan yang wujud dalam kehidupan mereka. Tegasnya, keruncingan yang berlaku memperlihatkan sejarah sebagai satu medium penting dalam dasar awam untuk menangani permasalahan isu identiti dan memperkasakan perpaduan.

Kepentingan mempelajari sejarah sebagai ilmu masa silam kerana kesejahteraan mampu melahirkan hasil manusia menjadikannya teladan dan sempadan bagi individu, bangsa dan negara serta agama tercinta. Tidak perlu diulang kembali detik sejarah hitam  pengkhianatan  terhadap tanah air. Watak masyhur dalam kalangan masyarakat yang dibawa si kitol dan Raja Mendeliar hanya menyemarakan api permusuhan dan dendam kesumat demi perebutan kuasa di Kepulauan Melayu. Jika diimbas kembali peristiwa kekejaman komunis di Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 memberikan kesedaran penduduk Tanah Melayu untuk berpemerintahan sendiri. Bahkan dengan mempelajarinya mahasiswa mampu menyelami secara rohaniah terhadap tindakan penentangan perajurit-perajurit membiarkan nyawa direntap daripada jasad demi mempertahankan pertuanan Melayu yang sebenar.

Tidak dikesampingan, catatan sejarah Malaysia memperlihatkan keunggulan golongan mahasiswa menempa nama di persada empat penjuru dunia. Fenomena kejayaan demi kejayaaan yang diraih bukan sahaja dalam bidang akademik malahan termasuk bidang kokurikulum. Lebih membanggakan kejayaan mereka diiringi dengan kibaran bendera keramat julang atma yang merdeka. Walaubagaimanapun “adat juara kalah menang, adat saudagar laba rugi” bagi sesetengah mahasiswa yang tidak meraih apa-apa pingat dalam pertandingan. Namun mereka telah memaparkan sikap cinta akan tanah air dengan membawa bersama jalur gemilang setiap kali beraksi di luar negara. Aksi patriotik tersebut seharusnya dicontohi oleh setiap mahasiswa bagi menaikkan semangat jati diri. Hakikatnya, jalur gemilang adalah simbol sekelompok manusia yang dirapatkan saf atas dasar tatasusila bangsa dan kenegaraan yang sama.

Agenda perpaduan perlu sentiasa dititikberatkan oleh mahasiswa kerana dengan kesatuan hati dapat membina sebuah negara yang aman tanpa sebarang konflik dalaman. Bersesuaian dengan komposisi Malaysia yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa. Mahasiswa perlu cakna terhadap budaya pidana  menyerang anak bangsa yang boleh menyebabkan pertembungan sensitiviti kaum. Budaya hedonistik dan asabiah terhadap kaum masing-masing serta pergolakkan emosi bakal mengheret kepada kerosakan akhlak yang kritikal. Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Cukuplah bukti yang konklusif peristiwa 13 Mei 1969 memberikan malapetaka dan dampak kebejatan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.


Intiharnya, sejarah tanah air sememangnya tidak dapat disangkal membawa seribu satu anjakan kemaslahatan sekiranya mahasiswa mendalami dan menerapkan dalam kehidupan seharian. Negara Malaysia bukan ditakuk lama lagi  yang kurang memberikan perhatian serius terhadap masalah sosial, ekonomi dan politik. Pemimpin-pemimpin negara yang berkaliber telah bertindak cemerlang mentadbir dan membangunkan negara demi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat. Oleh yang demikian, mahasiswa juga perlu “sediakan payung sebelum hujan” menghadapi sebarang gelombang cabaran dalam memperkasakan bangsa yang merdeka. Akhir sekali, ahli filsof  Barat pernah menyatakan bahawa sejarah pasti akan berulang sekiranya sejarah luput di ingatan. “kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang” maka langkah-langkah drastik, sistematik dan pragmatik perlu diketengahkan demi mendaulatkan Negara Malaysia yang ditunjangi konsep federalisme .


RUJUKAN PENULIS :  


1)http://www.sinarharian.com.my/mobile/rencana/generasi-muda-perlu-sedar-pentingnya-jalur-gemilang-berkibar-megah-1.68974
2)http://www.mstar.com.my/sukan/sukan-ekstra/2016/07/28/ann-osman-bawa-bendera-malaysia/#
3)http://www.sinarharian.com.my/mobile/rencana/mata-pelajaran-sejarah-membosankan-sampai-bila-1.247030
4)https://m.facebook.com/pertubuhananakpolismalaysia/photos/a.684471114919033.1073741826.684466204919524/1227804800585659/?type=3
5) http://azwiraariwana.blogspot.my/p/tajuk-langkah-langkah-memartabatkan.html?m=1
6)http://bahasarojakkita.blogspot.my/2017/01/bahasa-rojak-dalam-kalangan-masyarakat.html?m=1
7) http://sambaltempe86.blogspot.my/2009/01/mengapakah-subjek-sejarah-kurang.html?m=1
8)http://notagurupelatih.blogspot.my/2011/09/kepentingan-sejarah-kepada-manusia-dan.html?m=1
9)https://www.google.com/amp/s/vdocuments.site/amp/contoh-pendahuluan-dan-penutup-karangan-yang-menarik.html
10) Bukit Kepong, Ismail Johari, 1999
11) Sejarah Kekejaman Komunis Di Tanah Melayu, Muhamad Aiman, 2013
12) Bahasa Melayu Suara Dari Bawah, Jeniri Amir, 2013
13) Buku Era Penjajahan Barat

Saturday, December 9, 2017

SERANGAN BUDAYA EVASIF MASYARAKAT TERHADAP HARTA AWAM

SERANGAN BUDAYA EVASIF MASYARAKAT TERHADAP HARTA AWAM

OLEH : NURUL HAMIZAH JAFPRI


          Harta awam bermaksud kemudahan yang disediakan oleh kerajaan atau badan bukan kerajaan yang digunapakai dan dinikmati oleh masyarakat awam. Di Malaysia harta awam  berbentuk fizikal seperti  tandas awam, telefon awam, taman permainan, perhentian bas dan sebagainya. Gerakan terhadap kempen hargai harta awam telah banyak dijalankan oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan meliputi peringkat sekolah, universiti awam serta masyarakat umum. Kempen tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan menjaga kemudaham awam untuk kemaslahatan umum. Tidak hanya sekadar kempen yang dilakukan, penerapan mencintai harta awam juga diterapkan dalam silibus pembelajaran disekolah. Malangnya keadaan tersebut menunjukkan pembelajaran dan pengajaran sewaktu di sekolah hanya semata-mata untuk melepasi peperiksaan dan silibus pengajaran. Penghayatan terhadap tajuk berkaitan adab  di dalam buku teks pendidikan tidak dapat dipupuk dalam atma remaja apabila mereka meningkat dewasa. Ini bukan satu kegagalan tetapi satu cabaran akan keperluan anjakan paradigma mempelbagaikan lagi cara untuk memupuk kembali kecintaan kepada harta awam. Kesukaran ini tidak boleh ditunding sepenuhnya kesalahan kepada guru -guru yang mengajar. Hal ini kerana tindak tanduk para pelajar diluar skop kawalan  pendidik kerana keputusan membuat sesuatu perkara terletak pada diri individu sendiri.    

          Selanjutnya di Malaysia usaha memupuk dan mendidik nilai-nilai mulia telah berdekad-dekad lamanya dilaksana menerusi sistem pendidikan dengan kaedah yang pelbagai dan bervariasi. Pemupukan nilai-nilai mulia dilakukan secara langsung kepada pelajar-pelajar yang beragama Islam dalam matapelajaran pendidikan Islam manakala bagi yang bukan beragama islam pula menerusi subjek pendidikan moral. Namun jelas dilihat kemerosotan akhlak dalam kalangan remaja berada pada tahap yang membimbangkan. Masing-masing saling menyalahkan antara satu sama lain apabila akhlak dalam diri individu tidak dapat diterapkan sepenuhnya. Realitinya kepentingan pendidikan akhlak telah diakui oleh semua masyarakat sepanjang sejarah sejak zaman Greek. Dengan kata lain agama merupakan asas pembentukan akhlak manusia. Tanpa pendidikan agama asas terhadap pembentukan akhlak tersebut tidak akan mapan serta kekal bahkan ianya bersifat sementara. Dan akhirnya menjadikan kegagalan dalam sistem pendidikan negara yang membawa kepada kebejatan nilai-nilai akhlak. 
                                                                                                                                           
         Namun, apabila keluar daripada ruang lingkup persekolahan maka nilai disiplin semakin tidak dititik beratkan. Hilangnya nilai adab masyarakat ketika berada di tempat awam. Anak watan masih belum menghayati sepenuhnya kemaslahatan yang disediakan oleh kerajaan kerana dilahirkan dalam era serba baharu. Dalam erti kata lain, mereka tidak merasai kekurangan infrastruktur sebenarnya merencatkan pembangunan ekonomi daripada sudut pelancongan, kesihatan dan sebagainya. Sebagai contoh keperluan terhadap telefon awam semakin terhakis di telan zaman kemodenan sekaligus telah berlaku lambakan terhadap kemudahan komunikasi peralatan yang lebih canggih. Kepelbagaian bentuk, warna dan kandungan telefon bimbit membuatkan ia semakin digunapakai dan menjadi medium utama berkomunikasi oleh masyarakat. Hal ini memperlihatkan telefon awam semakin dipinggirkan serta sekadar dijadikan perhiasan di tepi-tepi jalan. Apabila kemudahan tersebut diabaikan oleh masyarakat awam maka secara tidak langsung menjadikan ia objek ujikaji melempiaskan kemarahan oleh golongan muda yang sukar mengawal emosi kemarahan. Melihat kepada statistik yang dikeluarkan oleh Muzium Telekom pada tahun 2001 sehingga tahun 2007, ternyata begitu banyak kes vandelisme yang dilaporkan. Bermula pada tahun 2001, jumlah keseluruhan vandelisme di seluruh negara adalah sebanyak 9,631 kes, 9,745 kes (2002), 7404 kes (2003), 10,898 kes (2004), 7,851 kes (2005), 2,002 kes (2006) dan 241 kes  (2007).

          Tidak cukup dengan itu, masyarakat acapkali dimomokkan dengan sikap kurang beradab orang barat. Budaya barat yang menular seringkali mendapat  kritikan dalam masyarakat  tidak wajar dijadikan panduan. Kita tidak menafikan budaya yang menjadi kebiasaan dalam negara barat adalah bertentangan dengan norma masyarakat setempat yang dilindungi oleh Akta Undang-undang Negara. Mana-mana budaya luar yang boleh menyebabkan pertembungan sensitiviti umum sememangnya mesti ditolak ke tepi. Namun kita seharuskan dapat membezakan perilaku baik dan buruk. Walaupun mereka tidak menganut agama Islam atau tidak beragama tetapi mereka mempunyai etika yang diterapkan dalam  Islam. Perbandingan di negara Jepun terutama di bandaraya Tokyo walaupun negara tersebut tidak meletakkan begitu banyak tong sampah di tempat awam namun tidak banyak sampah yang kelihatan di merata-rata tempat. Sikap sambil lewa dan bermalas-malasan sudah sebati dalam nadi masyarakat Malaysia adalah pemangkin kepada keruntuhan nilai akhlak dalam diri. Kekurangan kesedaran dalam aspek kebersihan masih kurang berbanding masyarakat di negara maju. Bahkan, Malaysia masih lagi berdepan isu-isu lama seperti pembuangan sampah merata-rata, membuang sisa pepejal secara haram. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan pemupukan amalan 3R masih rendah dalam kalangan masyarakat.

          Seterusnya perkataan perhimpunan adalah bersifat umum. Perihal perhimpunan merujuk kepada berhimpun beramai-ramai untuk sesuatu tujuan tertentu. Di Malaysia perhimpunan yang berbentuk  menyuarakan suara diertikan sebagai perhimpunan aman. Perhimpunan tersebut perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum memulakan apa-apa perhimpunan.  Hal ini selaras dengan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 yang diperkenalkan bagi melindungi hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun kini, negara memperlihatkan tindak tanduk peserta perhimpunan aman berada diluar kawalan. Demonstrasi jalanan yang telah dilakukan memberi kesan keadaan sekeliling seperti kerosakan harta awam, pembuangan sampah merata-rata tempat, kemusnahan tanaman dan sebagainya. Sebetulnya para peserta yang bertindak sedemikian telah menyalahi garis panduan peserta yang menghadiri perhimpunan dibawah peruntukkan seksyen 7 (APA 2012). Perlakuan yang terlalu agresif yang ditunjukkan peserta perhimpunan menyebabkan berlakunya perkara diluar jangkaan. 

          Sungguhpun begitu sudah beberapa kali dalam sejarah Malaysia, sikap ketaksuban kepada pemimpin seolah-olah ingin menegakkan keadilan hanya mendatangkan kemudaratan terhadap negara. Sebetulnya kebenaran yang mereka ingin tegakkan tidak selari dengan kaedah yang telah diperuntukkan dalam undang-undang negara. Hal ini kerana negara Malaysia yang dahulunya begitu aman kini diracuni dengan rusuhan atau tunjuk perasaan yang melampau-lampau hanya kerana ingin mempertahankan seseorang pemimpin. Akhirnya mereka bagaikan dirasuk melalui ucapan pemimpin itu sendiri menyebabkan pengikut bertindak luar daripada batasan nilai-nilai kehidupan rakyat Malaysia. Nilai-nilai Islam yang diterapkan sejak kecil sudah semakin sinar ditutupi dengan kemarahan yang membuak-buak. Bukan sahaja merosakkan harta awam malahan keadaan yang berlaku akan menakutkan masyarakat setempat. Ketegangan yang berlaku menyebabkan masyarakat tidak lagi berasa aman dengan tindak tanduk mereka. Bahkan media masa pernah melaporkan pada 20 September 2014 kerajaan terpaksa menanggung hampir RM20 juta kerugian akibat kerosakan harta awam disebabkan gejala tidak sihat di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

         

         Tahun 2017 adalah satu frasa kemuncak mengharungi pelbagai onak duri. Apa yang dilihat kini, masyarakat  semakin jauh daripada landasan salah satu prinsip rukun negara. Kesopanan dan kesusilaan dalam diri masyarakat sinar ditelan arus kemodenan. Bahkan ikrar yang dilakukan setiap kali perhimpunan rasmi seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Apabila para pelajar keluar daripada lingkungan kawasan persekolahan dengan serta-merta mereka tidak membawa bersama-sama makna sebenar ikrar tersebut. Hal ini secara langsung kita sudah kehilangan corak daripada lima prinsip rukun negara. Rukun Negara adalah satu ideologi kebangsaan Malaysia yang dibentuk oleh Majlis Gerakan Malaysia pada tahun 31 Ogos 1970 setelah berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghilangkan perpaduan dan keharmonian rakyat. Sememangnya, mentaliti masyarakat berfikir harta awam bukan miliknya yang harus dijaga. Dan jika itu adalah hak mereka nescaya akan dijaga rapi sepenuhnya bagai menatang minyak yang penuh. Pemikiran sebegini perlu ditepis dalam minda masyarakat majmuk kerana kemudahan awam adalah untuk semua dan sudah semestinya setiap orang yang menggunakannya perlu memeliharanya agar generasi akan datang dapat menikmati kemudahan yang disediakan.

         Kesimpulannya dalam menjadikan negara Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain, satu pembaharuan yang kritis perlu dilaksana bagi menjamin keberkesanan yang berpanjangan. Hal ini selaras dengan hasrat negara untuk bersukat sama banyak, bertimbang sama berat dalam menjadikan negara maju sebagai penanda aras dalam menggerakkan idealisasi yang jitu. Usahasama dan sokongan  semua pihak diperlukan bagi menjayakan segala tindakan yang mendatangkan manfaat kepada umum demi menghakis budaya evasif dalam masyarakat . Pada dasarnya, ledakan transformasi ke arah kecanggihan teknologi adalah satu petanda bahawa rakyat Malaysia perlu merubah pemikiran ke arah minda kelas pertama. Justeru semua pihak perlu cakna terhadap perubahan negatif yang melanda negara bagi merealisasikan hasrat pemimpin negara mencapai wawasan 2020 kelak.




Langkah-langkah menghadapi tekanan inflasi

                        Oleh : Nurul Hamizah Jafpri         Umum mengetahui, ketegangan geopolitik yang berlaku antara negara-negara besar s...