Sunday, July 16, 2017

KARANGAN CEMERLANG SPM (BAHAGIAN A)

TAJUK : CARA-CARA MENGHARGAI JASA WARGA TUA

             Warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat mendefinisikan warga tua sebagai seorang yang telah lanjut usia  seperti datuk dan nenek. Warga tua inilah yang telah banyak menabur bakti kepada keluarga mahupun masyarakat luar. Hakikatnya kederasan arus permodenan menyebabkan generasi muda mulai alpa terhadap jasa dan pengorbanan warga tua ini. Namun, sejauh manakah pemikiran generasi muda kelas pertama dalam membalas budi warga tua ?.

               Antara mekanisme menghargai jasa warga tua adalah dengan memberikan bantuan bagi meringankan beban kesusahan yang dialami. Misalnya membantu melintas jalan mahupun membantu mengangkat barang . Kita perlu menyedari hakikat bahawa warga emas sudah lanjut umur. Hal ini menyebabkan mereka mudah keletihan sehinggakan ada yang tidak mampu membawa barangan yang berat dan banyak. Oleh itu jelaslah generasi setampuk pinang inilah perlu memerahkan sedikit keringat untuk membantu mereka.

                Seterusnya berkasih sayang merupakan fitrah manusia untuk menerima dan memberi. Apabila masyarakat peka terhadap keperluan warga tua seperti makanan dan minuman,pakaian serta ubat-ubatan maka tidak ada  lagi perumpamaan melukut di tepi gantang.  Oleh yang demikian dapat membalas budi warga tua yang pernah menatang kita bagai minyak yang penuh ketika masih kecil. Malahan dalam setiap agama juga mengajar manusia untuk saling berkasih sayang sesama mereka.

                 Selain memberikan keperluan fizikal tidak dikesampingkan pengisian rohani dengan melakukan perkara yang menggembirakan hati warga tua seperti memberikan hadiah. Warga tua akan menganggap diri mereka lebih dihargai oleh golongan muda. Hal ini menyebabkan wasilah yang terjalin tidak akan mudah luntur serta merapatkan jurang yang menghakis ukhuwah mereka.

               Tidak cukup dengan itu, meraikan hari istimewa.  Seorang anak dapat menunjukkan kasih sayang terhadap ibu bapa dengan cara meraikan ulangtahun perkahwinan atau hari lahir mereka. Bukan sekadar meraikan hari istimewa tetapi mengutamakan kualiti bersama adalah lebih bermakna bagi warga tua. Hal ini memperlihatkan anak-anak sentiasa mengingati ibu bapa mereka walaupun dihambat kesibukan tugasan luar.

               Intiharnya semua pihak perlulah bersinergi bagi mengerakkan kembali  konsep "yang tua dihormati, yang muda disayangi" yang pernah diterapkan dalam nadi masyarakat sejak dulu dan bukan sekadar angan-angan mat jenin semata-mata. Tegasnya, warga tua adalah anugerah Tuhan yang dititipkan kepada kita untuk saling lengkap melengkapi dalam pelbagai aspek tidak kira berlainan latar belakang agama, bangsa mahupun bahasa.


Oleh : NURUL HAMIZAH BINTI JAFPRI







Langkah-langkah menghadapi tekanan inflasi

                        Oleh : Nurul Hamizah Jafpri         Umum mengetahui, ketegangan geopolitik yang berlaku antara negara-negara besar s...