Thursday, August 10, 2017

KARANGAN CEMERLANG SPM

Kemajuan Teknologi Braille Menjanjikan Masa Hadapan OKU Penglihatan Yang Lebih Baik.

Tidak kuminta lahir ke dunia,
Tidak kuduga cacat begini.
Bukan kuminta kasih dan manja,
Bukan kurayu bantu simpati.

          Demikianlah senandung sayu daripada sebahagian lirik lagu yang bertemakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Walaupun Negara Malaysia semakin melonjak nama ke puncak jagat, namun tidak semua memiliki kesempurnaan untuk memajukan diri sendiri seiring dengan pembangunan pesat Negara. Terdapat insan yang kurang bernasib baik, iaitu tidak sempurna sifat fizikal mereka di dunia ini. Kehadiran mereka menunjukkan kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa dan sebagai manusia yang sempurna sifatnya, kita mestilah membantu golongan OKU menghadapi ranjau kehidupan yang mencabar. Oleh itu, beberapa inisiatif boleh kita lakukan untuk meningkatkan taraf hidup golongan (OKU). Bukan itu sahaja, tidak dinafikan secara sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan Negara yang semakin gah dipersada dunia. Negara Malaysia kini sering meniti daripada bibir ke bibir masyarakat segenap empat penjuru dunia. Seiring dengan kemajuan dunia, Isu mengenai masalah ketiadaan alat bantuan terhadap golongan kurang upaya  (OKU) ini tidak dapat disembunyikan lagi. Dengan adanya kepakaran daripada golongan inteligensia tidak dapat disangkal  memudahkan bagi golongan kurang upaya (OKU) untuk mengenali setiap huruf melalui sentuhan jari mereka.

          Kini golongan yang kurang berkemampuan seperti orang buta mampu membaca dengan adanya kaedah braille. Penciptaan sistem menggunakan kod titik timbul yang boleh dibaca secara sentuhan atau Braille telah mengubah keadaan ini, khususnya bagi orang buta. Sistem Braille boleh digunakan dalam pelbagai bahasa termasuk Arab. Di Malaysia dianggarkan kira-kira 65,000 orang buta walaupun hanya sepertiga sahaja berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Malahan braille bukan sahaja terdapat dalam bentuk abjad tetapi terdapai juga dalam bentuk abjad Arab. Apabila al-Quran dicetak menggunakan sistem Braille, membolehkan orang buta membaca kitab suci itu secara sentuhan. Ramai mengetahui Braille dicipta di Perancis oleh Louis Braille pada 1821. Tetapi sistem sama dicipta 600 tahun terdahulu oleh seorang intelek Muslim dari Syria, Zain Din al-Amidi, iaitu profesor di Universiti Moustansiryeh di negara yang kini dikenali sebagai Iraq.

          Siapa kata orang kurang upaya tidak boleh berjaya seperti manusia yang cukup sifat fitrahnya ?. Anggapan ini perlu ditepis kerana golongan yang kurang berkemampuan ini mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan manusia lain. Kajian Negara Barat menunjukkan seseorang akan berjaya adalah pada usahanya bukan kerana kesempurnaan yang dimilikinya. Oleh itu, kata-kata saintis barat adalah benar. Kemajuan sesebuah Negara bukan hanya terletak pada pengendalian pentadbirannya sahaja malahan manusia yang hidup dalam Negara tersebut juga merupakan batu loncatan kepada Negara. Kaedah braille kini lebih literasi dan merupakan medium utama bagi golongan yang kurang upaya (OKU) untuk membaca dan menulis. Hal ini sedikit sebanyak membantu tanpa perlu tanpa perlu meminta masyarakat luar untuk membacakannya. Jelaslah, kesenangan yang dirasai oleh golongan kurang upaya mampu menjadi pembakar semangat untuk  mereka menikmati kemudahan yang tersedia ada.

          Bukan  hanya tertumpu kepada buku semata-mata, kaedah braille perlu diterapkan dalam bentuk teks al-Quran. Menurut  Presiden Persatuan Braille Malaysia, Datuk Mah Hassan Omar yang mendedahkan kira-kira 13,000 orang kelainan upaya (OKU) penglihatan beragama Islam negara ini memerlukan senaskhah al-Quran dalam tulisan itu bagi memudahkan mereka membaca dan mempelajari kitab suci itu. Beliau menyatakan tentang kesukaran mendapatkan teks al-Quran Braille di tempat-tempat awam seperti masjid serta kekangan kewangan menjadi punca masih ramai antara mereka tidak mampu memilikinya. Kata-kata Tun Mahathir “ Malaysia mempunyai masyarakat minda kelas pertama tetapi kemudahan infrastruktur kelas ketiga..” seharusnya kita hayati. Oleh itu, anjakan paradigma yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan menyediakan kemudahan kepada mereka adalah sesuatu membanggakan. Perlaksanaan di Negara Barat menggunakan kaedah braille ini menjadi penanda aras bagi Negara Malaysia untuk memajukan masyarakat Malaysia tidak kira keadaan seseorang itu sama ada golongan kurang upaya (OKU) atau golongan sebaliknya.

          Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan kaedah braille dalam kalangan masyarakat Malaysia sudah menunjukkan tanda-tanda positif sebagai pemangkin kepada pembangunan Negara secara tidak langsung. Hal ini dibuktikan lagi dengan kejayaan golongan tidak celik ini yang mampu membuka pusat urutan kaki dengan menggunakan kemahiran mereka. Ada juga yang menjai sukarelawan untuk mengajarkan teknik membaca braille kepada golongan yang menerima nasib seperti mereka sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa, mereka juga layak untuk melangkah ke hadapan bersama insan yang lain dengan kemahiran mereka sendiri walaupun secara fitrah tidak sehebat manusia yang celik kedua mata. Salah satu kejayaan terbesar bagi golongan ini, iaitu Patrick Henry Hughes menjadi tumpuan media seorang pemuzik yang boleh memainkan pelbagai alat muzik. Beliau buta dan lumpuh separuh badan pada 10 Mac 1988. Apabila bakat luar biasanya didedahkan, beliau sering dijemput untuk membuat persembahan diseluruh Negara. Tidakkah ini sesuatu petanda yang baik ?. Oleh hal demikian, kaedah braille merupakan tunjang utama bagi merealisasikan impian mereka untuk berubah kearah lebih baik lagi.

          Kebijaksanaan pemimpin dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang pesat demi menjulang Negara ke puncak jagat. Pada realitinya tidak dapat dinafikan kestabilan ekonomi dan keamanan Negara mampu dirasai oleh semua masyarakat umum. Tidak dinafikan input yang diperoleh dalam menggunakan braille boleh diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, mereka yang sudah mahir membaca menggunakan titik timbul ini boleh mengajarkan kepada yang belum mahir, kerana seseorang yang mempunyai fitrah yang sama sahaja mampu memahami sesama mereka. Jadi itu bukan satu masalah atau penyebab untuk mereka tidak memajukan diri mereka sendiri berdasarkan manfaat yang diperolehi dalam kaedah braille. Selain itu, kejayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang kurang upaya dibuktikan oleh seorang penunutut universiti tempatan, kegembiraan menyelubungi keluarga pelajar kurang upaya, Nur Aisyatul Radiah Alidaniah berusia 26 tahun yang kehilangan penglihatan sejak berumur 16 tahun apabila beliau menerima Ijazah Sarjana Ekonomi Islam dengan memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.93 pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-43 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar).

         Intiharnya, pihak kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) haruslah bersinergi bak aur dan tebing, persis isi dan kuku dalam mencapai konsesus mengambil inisiatif baharu dalam menyediakan kemudahan infrastruktur kepada golongan kurang bernasib baik bagi menjamin manfaat bersama daripada satu sudut yang berbeza. Ironiya, jika tiada kata sepakat dalam ummah, maka runtuhlah harapan yang tinggi menggunung kerana bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Terbangnya belon bukan kerana merah, kuning atau biru tetapi kerana kandungan gasnya yang selaras dengan hasrat dan aspirasi Negara untuk bersukat sama paras dan bertimbang sama berat dengan Negara-negara lain mampu digamit dan direalisasikan.

Oleh : Nurul Hamizah Binti Jafpri

Langkah-langkah menghadapi tekanan inflasi

                        Oleh : Nurul Hamizah Jafpri         Umum mengetahui, ketegangan geopolitik yang berlaku antara negara-negara besar s...